Harimau Selatan 'unbeaten' Liga Super 10 tahun berturut-turut
Tiada mana-mana pasukan yang mampu menghalang kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk dijulang sebagai juara Liga Super 2023 kerana hanya memerlukan hanya satu mata dari baki lima perlawanan sahaja lagi.
Kejayaan dinobatkan sebagai juara Liga Super 2023 menyaksikan kelab selatan itu memenangi rekod 10 kejuaraan Liga Super Malaysia berturut-turut – A Perfect 10.
Ditubuhkan pada 2013, Harimau Selatan memenangi trofi Liga Super Malaysia buat kali pertama pada 2014 untuk memulakan era dominan yang tiada tandingan dibawah pimpinan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Belum pernah ada pasukan yang memenangi tiga kejuaraan liga berturut-turut sebelum kehadiran JDT.
Harimau Selatan juga memenangi kejuaraan liga pada 2015 dan 2016 untuk menulis sejarah dan mencipta penanda aras, sesuatu yang telah dicapai oleh JDT secara berterusan dengan mencipta ‘double hattrick’ kejuaraan liga pada 2019 dan ‘triple hattrick’ pada 2022.
Kejuaraan ke-10 Liga Super Malaysia bakal menjadi trofi ke-25 buat kelab. JDT telah memenangi 8 Piala Sumbangsih, 3 Piala FA, 3 Piala Malaysia dan satu kejuaraan Piala AFC.
JDT menjadi kelab pertama dan satu-satunya dari Asia Timur yang muncul juara kejohanan tersebut dan juga menamatkan kempen liga musim 2016, 2020 dan 2022 tanpa kalah.
JDT mendapatkan gelaran ‘Untouchables’ pada 2022 apabila memenangi kesemua empat trofi domestik tanpa tewas satu perlawanan pun, dan musim 2023 juga kelihatan membanggakan setakat ini dengan mencatatkan 27 kemenangan dan satu seri dari 28 perlawanan di kesemua pertandingan domestik.
JDT juga telah menjaringkan 118 gol dan merekodkan 22 ‘clean sheets’ dan telah memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA.
Menjulang trofi kejuaraan Liga Super Malaysia 10 kali berturut-turut akan mencatatkan dominasi sedekad JDT dalam sejarah bolasepak.